Famili: Guttiferae
Negara asal: Malaysia, Thailand, Myammar dan India Selatan
Pokok yang sederhana besarnya ini boleh mencapai ketinggian 20-30meter. Batangnya lurus dengan dahan-dahannya tumbuh mengelilingi batang. Hujung dahan-dahan ini pula melentur sedikit. Silaranya hampir tirus semasa muda dan rendang terbuka apabila matang. Daunnya oblong-lanseolat, 12-30cm panjang, 3-7cm lebar, berkilat, licin, berwarna kemerahan semasa muda dan bertukar hijau tua apabila matang. Petiol 2.5cm panjang dan buah berbentuk globos, 7-12cm diameter, berpangsa 12-16 dari atas ke bawah dan bertangkai 3-5cm panjang. Semasa muda buahnya berwarna hijau dan bertukar warna kuning limau apabila masak. Isinya setebal 2-2.5cm dan mengandungi 3-5biji yang diselaputi aril yang juga berwarna hijau limau.
Buah gelugur adalah tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu dan sering digunakan sebagai penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional. Buahnya yang sudah cukup tua atau hampir masak akan dihiris nipis dan dijemur dibawah cahaya matahari. Hirisan buah yang kering boleh disimpan lama dalam bekas tertutup untuk kegunaan akan datang. Gelugur yang telah dikeringkan ini disebut sebagai asam keping.
Asam gelugur seringkali digunakan dalam pelbagai resipi masakan seperti laksa, asam pedas dan resipi tradisional yang memerlukan rasa masam. Rasa masam buah gelugur yang unik dapat merangsang dan menambah selera. Daun pokok asam gelugur yang masih muda dan berwarna kemerahan sering juga dijadikan ulam dan penyedap rasa dalam resipi masakan lauk-pauk. Buahnya yang hampir masak boleh digunakan untuk mencuci barangan daripada tembaga dengan cara menggosok hirisan buah pada bahagian terlibat.
Antara masakan Malaysia yang menggunakan asam keping:
Air 30.3g, protein 2.7g, lemak 1.3g, karbohidrat 51.9g, serat 12.2g, kalsium 85mg, fosforus 38mg, ferum 6.9mg, natrium 27mg, kalium 351mg, karotena 155ug, vitamin A 26ug, vitamin B1 0.06mg, niasin 0.4mg dan vitamin C 3.6mg.
Manakala dalam setiap 100g pengambilan daun muda atau pucuk gelugur terkandung di dalamnya:
Air 79.1g, protein 1.8g, lemak 0.4mg, karbohidrat 15.5g, serat 2.6mg, kalsium 63mg, fosforus 19mg, ferum 1.6mg, natrium 2mg, kalium 83mg, karotena 459ug, vitamin A 77ug, vitamin B1 0.06mg, B2 0.13mg dan vitamin C 37.2mg.
Pembiakan dan Penanaman
Pokok gelugur mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih daripada buah yang sudah cukup masak. Pada peringkat awal pertumbuhan, anak pokok gelugur memerlukan sedikit lindungan daripada sinaran terus cahaya matahari. Pokok gelugur akan mula berbuah selepas tempoh antara 10-15 tahun. Namun pada masa kini, kebanyakan pokok gelugur hanya dibiakkan dan ditanam lebih banyak di kawasan kampung dan kawasan pertanian tradisional.